Jumaat, 25 November 2011

Air mata taubat




SAYA banyak melakukan dosa pada masa silam dan ingin bertaubat atas kesilapan lalu. Setiap kali berdoa selepas solat, saya hanya mampu menitiskan air mata memohon taubat supaya diterima Allah.
Hanya itu doa saya, sementara doa termasuk memohon rezeki dan jodoh yang baik tidak pernah saya sertakan bersama. Saya terlalu malu untuk meminta daripada Allah kerana tahu saya bukan hamba-Nya yang baik dan mulia. 

Bagi saya, jika Allah mendengar keluhan saya dan menerima taubat hambanya yang hina ini, itu sudah cukup memadai. Adakah berdosa tindakan itu sebab ada yang berpendapat ia menunjukkan kesombongan kepada Allah. 

GADIS WASATIAH,

Kuala Lumpur 



BERISTIGHFAR iaitu memohon keampunan Allah seperti yang anda amalkan itu adalah sebahagian daripada doa kepada Allah. Doa seorang hamba kepada Allah termasuk dalam ibadah kepada Allah. 

Berdoa adalah salah satu ibadah di luar sembahyang selain membaca al-Quran dan berzikir. Islam melihat berdoa kepada Allah sangat penting. Ia dapat menjalin hubungan yang erat antara seorang hamba dengan Allah. Sebagai manusia dan hamba kita tidak terlepas dan memerlukan pertolongan Allah. Berdoa antara sebahagian daripada usaha dan ikhtiar. 



Berdoa kepada Allah menandakan seorang hamba kembali kepada Allah dan merendah diri kepada-Nya. Apabila menyedari kepentingan doa sebagai ibadah dan cara memohon serta berhubung dengan Allah, kita tidak perlu berasa bersalah untuk memohon apa saja daripada Allah seperti yang dinyatakan. 

Janganlah ada perasaan malu atau ‘sombong’ untuk memohon segala permintaan kepada Allah kerana ia sebahagian daripada usaha. Sekiranya permintaan atau doa kita tidak dimakbulkan, anggaplah ia yang terbaik daripada Allah untuk kita. 

Kita sepatutnya tidak berasa malas untuk terus berusaha dan berdoa kepada Allah.

Peluang taubat sentiasa terbuka untuk kita semua. Sekalipun dosa kita menggunung tinggi, tetapi Allah Maha Pengampun. Mohonlah padaNya... semoga kita semua tergolong sebagai orang2 yang sentiasa bertaubat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan